Tuesday, 29 April 2008

Jgn Pandang Sepi

Assalamualaikum & salam sejahtera,



Hari ini ku membaca akhbar secara atas talian lagi. Tertarik kepada dua buah artikel berasingan. Kedua-duanya mengisahkan kejadian bunuh yang dilakukan oleh pesakit pskiatri. Saya tidak menyalahkan pesakit tersebut. Sesungguhnya mereka tidak dapat berfikir dan merasa seperti kita yang normal. Mereka tiada pertimbangan seperti yang normal, meraka di dunia mereka sendiri. Maka, apa peranan kita dalam membendung permasalahan ini?

Umum akan cuba menjauhi pesakit sebegini. Saya tidak pula menggalakkan anda mendekati mereka sewenang-wenangnya. Anda perlu berpengetahuan dan berhati-hati ketika berhadapan dengan mereka. Namun, mereka masih manusia biasa seperti anda. Mereka lebih tersentuh, hipersensitif, dan adakalanya berada di dunia tersendiri. Tingkah laku mereka di luar jangkaan kita.

Saya tidak mahu berbincang tentang penyakit pskiatri secara satu-persatu. Anda boleh membacanya di dalam buku. Saya ingin mengulas tentang layanan stereotype yang sering mereka terima.

Menggelarkan mereka;'Orang Gila', 'Setengah Suku', 'Tiga Suku' dan lain-lain lagi bukanlah sesuatu yang baik. Malahan boleh membuatkan mereka terasa hati. Mengherdik mereka sesuka hati juga boleh membangkitkan marah mereka. Awas. Ketika mereka marah, tindak balas mereka adakalanya membahayakan. Mengejek, mengeji, mencerca mereka juga boleh menyumbangkan kepada kes-kes bunuh seperti ini.

Sebagai orang dewasa, kita seharusnya menghormati mereka. Mereka tidak hina dan kita tidak pula lebih 'manusia' berbanding mereka. Cuba fahami keadaan mereka. Jika tidak tahu, rajin-rajinlah membaca tentang penyakit mereka. Ajari kanak-kanak kecil untuk tidak bersikap biadap dengan mereka. Pada pandangan peribadi saya, tidak salah untuk anda menasihati anak-anak anda (atau adik-adik) supaya berhati-hati dengan pesakit ini. Namun, amatlah anda perlu menyatakan bahawa mereka sebenarnya sakit, perlu dihormati, jangan diganggu sesuka hati, mudah tersentuh dan lain-lain nasihat yang difikirkan sesuai. Amat penting juga untuk memberitahu bahawa pesakit ini juga manusia sama seperti orang lain.

Kita patut melihat mereka dengan kacamata berbeza kali ini.

No comments: